Ahad, 14 Disember 2014

Apakah Petunjuk Yang Mahu Kau Beri Ya Allah?

Setidak-tidaknya aku perlukan RM1,000.00 hari ini. Sabtu adalah hari gaji mingguan dua pekerjaku – Edo dan Andy. Andy telah kubayar pagi tadi – RM400.00 dan Edo pula yang biasanya menghabiskan cuti hujung minggunya di Kuala Lumpur, tidak dapat kubayar gajinya sehingga lewat malam ini. Dia telahpun ke Kuala Lumpur dengan bekalan RM30.00 yang kuberikan di Terminal Bas Seremban petang tadi.
        Oleh kerana itulah sejak awal minggu aku menghubungi pemiutangku agar dapat menjelaskan hutang masing-masing; setidak-tidaknya secara beransur. Jumlah kesemua hutang mereka melebihi RM200,000.00
        Keinginanku kuat untuk menuntut hutang yang sebahagiannya melebihi tiga tahun atas kesedaran mengapa perlu menagih simpati kawan untuk meminjam sedangkan aku ada wang sendiri yang ditangguhkan berada di poketku.
        Seorang daripada penghutangku berjanji menjelaskan bayaran hutang bernilai RM60,000.00 minggu lalu. Katanya bukunya terpilih sebagai teks sastera Tingkatan Satu tapi hanya beberapa minit lalu menjelaskan duit itu akan sampai minggu depan – tak tahulah sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya.
        Sewaktu aku menelefonnya senja tadi, dia bersedia membantuku memasukkan ke dalam akaunku RM500.00 untuk bayaran gaji Edo minggu ini. Hanya sekitar jam 11.00 malam sewaktu aku menanti panggilan menyatakan wang telah dimasukkan, mesej baharu masuk “Aku memang X ada duit. Betul Zul. Teruk. Harap buku DBP sahaja.”
        “Aaaah!” Aku benar-benar diuji hari ini.
        Sebaik-baik meninggalkan Labu sekitar jam 3.00 petang tadi kami menghantar Andy ke rumah kongsi rakannya di Sendayan; kemudian aku mengajak Edo ke Restoran Indonesia di Jalan Lee Sam sementara aku membuat beberapa panggilan kecemasan.
        Data nombor rakan dalam Lenovo yang baharu kubeli terlalu terbatas untuk meminta bantuan. Sejak Nokia dan IPhone 4C kuhilang, Sim Card talian `post-paid’ yang didaftarkan atas nama anak sulungku masih tidak dapat kugunakan lebih sebulan kerana dia tidak pulang ke Seremban. Jadi terpaksalah aku memandu ke rumah teman yang dijangka boleh membantu hinggalah jam 10.00 malam tadi.
        Inilah antara hasil panggilan, hubungan khidmat ringkas dan bersemuka dengan mereka yang selama ini aku anggap kawan rapatku.
        Kawan 1 (Mod: Panggilan Telefon)
        “Tunggulah dua tiga hari lagi. Saya sibuk sekarang.”
        “Terima kasihlah. Selepas tiga hari wang tidak bernilai lagi kepada saya. Wang hanya ada harga apabila diperlukan.”
        Kawan 2 (Mod: Bersemuka)
        “Sepupu kau memang teruklah. Tidak macam kau – a good paymaster.”
        “Geng! Boleh tak aku pakai RM3,000.00 buat berniaga. Sebelum jatuh matahari 31 Disember aku bayar bersama keuntungan.”
        “Tak ada duitlah Geng!”
        (nota: Dia sering dikatakan kembarku)
        Kawan 3 (Mod: SMS)
        “Look for me when I’m at home. Yesterday I was working in Melaka. U r no more a bankcrupt. So what’s ur problem. Just SHUT UP ok…”
        (nota: Kawan ini membankrapkan aku kerana membeli dua kereta jenama yang sama serentak (satu untuk adiknya) dan aku terpaksa menggunakan wang graduiti berjumlah RM30,000.00 untuk membebaskan diri).
        Kawan 4 (Mod: SMS)
        “Tuan tak salah tapi minta tolong tuan jangan `push’ saya. Ada rezeki saya bank-in. Buat masa ini sedang cari rakan-rakan yang boleh bantu saya yang tenat ini.”
        (nota: Kawan ini tinggal di banglo dua tingkat di taman perumahan berprestij dan memandu Mercedes S Class).
        Kawan 5 (Mod: Telefon)
        “Aku baharu habis kelas. Dekat Shah Alam ini susah cari bank. Hujan lebat sekarang.”
        (Selepas itu dia tidak menjawab panggilan telefon lagi).
        Dan sekitar jam 11.00 malam tadi, pesanan ringkas Edo masuk…

        “Usahakanlah Tok.Saya sudah tak ada wang. Tadi yang Dato’ bagi dah habis buat makan sama kawan. Tadi kalau Dato’ cakap awal-awal tak ada wang, aku tak pergi KL. Kalau macam ini caranya, aku kerja lain sahajalah Tok.” 

Tiada ulasan: