Khamis, 23 Oktober 2014

Sang Tukang Atap 3

SEPERTI yang dijanjikan, Baharin tidak muncul sehingga lewat petang Khamis.
      Abang Aziz, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Angsana bagaikan hairan melihat aku berlegar-legar dengan kereta awal pagi itu sedangkan dia tahu jadual harianku.
      “Tak balik kampung ke hari ini?”
      “Tak! Saya tunggu tukang baiki atap.”
      “Ambil tukang mana?”
      “Baharin yang selalu berlegar dengan basikalnya tu.”
      “Carilah orang lain Ji. Dia tu tak betul,” Abang Aziz memberi cadangan sambil bercerita mengenai kerja-kerja membaiki atap yang baharu dibuatnya minggu lepas.
      Bagi memenuhi masa, aku berkebun di sekitar rumah sahaja pada hari itu sambil menanti Baharin. Tugas menolak abah, aku serahkan kepada Aros, adik keduaku.
      Besoknya sewaktu singgah di warung roti canai Taman Paroi Jaya, aku terkejut melihat Haji Nasir yang sedang leka berbual dengan rakannya.
      Setelah temannya berlalu, aku segera menghampirinya.
      “Cepat pulih. Baharin kata you kurus kering sekarang.”
      “Kurus pasal apa?”
      “Baharin kata you jatuh dari bumbung.”
      “Alhamdulillah Ji. Saya sihat sahaja. Baharu balik dari SIGC (Seremban International Golf Club).
      Hanya pada pagi Isnin sewaktu balik menghantar Siti Adibah ke sekolah aku terlihat Baharin sedang melakukan kayuhannya di persimpangan SIGC dan Jalan Seremban-Kuala Pilah.
      “Baharin!,” aku berteriak dan dia segera menoleh.
      “Mana you pergi? Puas saya tunggu.”
      “Macam saya cakap dululah bang. Saya orang miskin tapi saya tak akan ambil duit orang kalau orang itu ragu-ragu.”
      Aku bungkam.

Tiada ulasan: