Selasa, 17 Disember 2013

Menunggu Keretapi Dari Wakaf Baru

Hari ini 11.12.13, Rabu bersamaan 8 Safar 1435 Hijriah.  Hari ini juga merupakan hari keputeraan Sultan Selangor.  Aku telah berpagi-pagi di stesen keretapi Kajang ini menanti ketibaan rakanku yang dijangka tiba jam 7.30 pagi.  Memandangkan taklimat biasiswa akan diadakan jam 8.30 pagi di Presint 5, Putrajaya, aku berkira-kira, segalanya sempat ku lalui mengikut aturan dan barisannya.
      Dan tika sinar mentari ini semakin terik mengintai di celah kacamataku, aku semakin keresahan kerana jam telah menunjukkan 9.15 pagi dan keretapi yang kutunggu belum tiba lagi! Waduh, gawat benar ni. Semua perancanganku sudah berantakan! Teringat ibu, suami dan anak-anak di rumah yang belum kubelikan kudapan kerana aku terburu-buru keluar takut kelewatan dan demi mengelakkan kesesakan di bandar Kajang.
      Seingat-ingat aku, kali terakhir aku menaiki keretapi adalah empat tahun lepas bila keluarga sebelah mentua teringin menikmati cabaran dan keseronokan menaiki keretapi bersama-sama anak, menantu dan cucu.  Lantas perjalanan dirancang untuk kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis dengan destinasi utamanya adalah Pulau Langkawi.  Kami menempah koc berkatil kononnya inginkan keselesaan sambil tidur dalam keretapi. 
      Perjalanan itu bermula jam 9 malam dari stesen keretapi Kuala Lumpur dan kami tiba jam 7.30 pagi di Kuala Perlis keesokannya.  Perjalanan balik, kami semua setuju untuk menaiki kapal terbang sahaja! Cukuplah perjalanan pergi yang seperti tak berpenghujung itu.
      Jadi, pagi ini mengingatkan lagi pengalaman- pengalamanku menaiki dan menunggu Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebelum ini.  Banyak lambat dari cepatnya, walaupun aku kira selepas 40 tahun kelahiran aku, dan selepas dasar penswastaan diamalkan, prestasinya masih begitu juga. 
      Malah rupanya pun! Cuba lihat gambar yang sempat aku rakam.  Malah aku rasa, kalau sudah begitu waktu ketibaannya, tidak perlulah nyatakan ia tiba lebih awal.  Kalau memang benar perjalanan dari Wakaf Baru mengambil masa selama 14 jam, nyatakan sahaja begitu, bukan kah lebih mudah?  Ini aku rasa telah ada 5 komuter ke KL dan 5 komuter ke Seremban lalu begitu sahaja di depanku.  Sudah pasti aku jadi bahan andaian Pak Cik Inspektor Keretapi kerana sudah masuk dua jam tetap duduk sopan di bangku stesen.  Ada juga dua tiga orang yang menyapa ingin tahu komuter mana yang kutunggu, mungkin prihatin takut aku tidak tahu atau tidak biasa. 
      Bila aku kata aku menunggu keretapi dari Wakaf Baru, jawapan yang aku terima, " Ooohhh... Biasalah dik, kalau pukul 7.30 pagi tu maknanya pukul 9.30 sampai dah cukup baik, pernah ia sampai jam 10.30,". 
      Hmmm... Begitu rupanya.  Tarikh yang cantik hari ini tidak memberikan aku hari yang lancar rupanya, keluh hatiku.  "Sabarlah ya," aku memujuk hati yang gundah, apatah lagi deringan telefon dari sang suami semakin bertalu-talu bertanyakan khabarku. 
      Semoga KTM akan terus cekap dan efisien selaras dengan dasar penswastaan yang cuba diterapkan seiring dasar pandang ke Timur. - Merhayati Sipon

Tiada ulasan: