Rabu, 4 Disember 2013

Budak-budak Tak Pandai Bohong

Hari ini jam 9.45 pagi ke sebuah sekolah di Daerah Rantau.
     Seorang guru pelatih KPLI yang di bawah seliaan saya akan mempraktikkan teori dari bilik kuliah ke kelas dan dalam situasi sebenar.
     Awal-awal lagi dia sudah bimbang. Berkali-kali dia beritahu saya, "Puan, saya nak cakap awal-awal. Budak-budak kelas saya sangat hyper. Mungkin akan ada masalah kawalan kelas nanti..."
     Saya senyum-senyum saja. Kesian lihat muka dia yang risau. Saya beritahu dia jangan tertekan sangat. Buat macam biasa. Saya bukan mahu cari salah. Saya hanya mahu membimbing.
     Saya pun masuk ke kelas tersebut. Makmal ICT sebenarnya. Dingin dan santai. Pelajar duduk di lantai menghadap papan putih. Guru menggunakan teknologi ICT untuk memaparkan set induksi. Menarik. Murid sangat teruja, menyanyi bersama-sama.
     Tapi memang betul kata dia. Budak-budak Tahun 4 itu memang jenis hyper. Langsung tidak boleh diam. Ada yang sampai meniarap-niarap. Ada dua tiga orang menangis-nangis. Puncanya pun hanya kerana berebut helaian edaran. Tapi guru itu pandai juga mengawal kelas.
     Mungkin kerana suaranya yang kuat. Atau kerana dia lelaki.
     Selesai kelas, dia memang agak susah hati. Terlebih masa l5 minit. Saya tahu sebabnya. Dia terpaksa mengambil masa untuk mengawal kelas yang budak-budaknya macam ulat beluncas, atau melompat-lompat macam ulat nangka.
     Sebenarnya itulah realiti di kelas yang betul. Saya memang tiada pengalaman langsung mengajar sekolah rendah. Tapi mengajar di tingkatan satu, saya pernah. Setahun saya mengajar tingkatan satu. Perangai budak-budak masih terbawa-bawa dari sekolah rendah.
     Kelas yang saya pernah ajar itu lagi teruk daripada kelas yang guru pelatih itu ajar. Sekurang-kurangnya kelasnya ada pelajar perempuan. Tidak ramai bilangan pelajarnya.
     Kelas tingkatan satu yang saya ajar? Empat puluh enam orang pelajar lelaki! Kaki gaduh pulak tu. Bertumbuk perkara biasa.Malahan, adakalanya guru terpaksa mengejar pelajar yang keluar masuk sesuka hati ke dalam kelas. Ada peristiwa seorang pelajar, kencing dalam botol air mineral semasa guru sedang mengajar. Pelajar tingkatan satu, bukan tahun satu!
     Itu sebabnya saya hanya senyum-senyum tatkala dia asyik risaukan hal pelajarnya yang hyper. Bagi saya, itu normal. Itu dunia realiti di sekolah. Teori-teori kadang-kadang hanya untuk menjawab peperiksaan atau mengisi kerja kursus sahaja. Praktiknya belum tentu dapat dibuat persis teori.
     Apabila kita menyelia di sekolah menengah, pelajarnya pandai berlakon. Macam tertib sahaja. Semuanya ikut aturan. Tapi di sekolah rendah, budak tidak pandai berlakon. Tak pandai menipu juga. Kalau dia rasa mahu meniarap, dia meniarap sahaja; tidak kira gurunya sedang dicerap atau tidak. Kalau mahu menangis pun, dia menangis saja. Peduli apa dia dengan pensyarah yang tertonggok di belakang kelas!
     "Jangan susah hati..." kata saya. "Ini hal biasa di kelas. Tapi kena rancang strategi supaya mereka dapat dikawal. Jangan bagi banyak sangat aktiviti yang boleh menyebabkan mereka hilang fokus."
     Tapi saya tahu dia penat. Satu jam menangani sekumpulan pelajar yang seperti ulat nangka. Sama sahaja seperti yang saya rasa dahulu. Tapi kerisauannya ialah kerana dia diperhatikan.
     Satu perkara yang saya juga belajar. Budak-budak hatinya bersih. Mereka langsung tak pandai berlakon. - Ratna Laila Shahidin

Tiada ulasan: