Sabtu, 5 Oktober 2013

Kisah Cerek Penyelamat

Dalam situasi kecemasan di laut atau dalam air, terutamanya yang mana di saat itu, seseorang amat memerlukan alat bantuan kecemasan untuk membantunya menyelamatkan diri daripada lemas, pelbagai peralatan boleh membantu.   
    Peralatan itu mungkin sahaja adalah pelampung, sebatang kayu besar, papan, tong dram, tali, beg besar dan sebagainya, tetapi bagi diriku sendiri  ia adalah sebuah cerek.  Tak masuk akal kan?  
    Jadi aku ingin membawa kamu semua menelusuri kisah pengalamanku ini dan ya, di akhir cerita kamu semua bebas membuat penghakimannya, sama ada setuju atau tidak dengan pernyataan tajuk ceritaku ini.
    Kisah ini terjadi di pertengahan tahun 80-an, ketika aku masih lagi belasan tahun, empat belas tahun untuk lebih tepat.  Ya, waktu itu aku masih muda, ceria, bersemangat dan tidak gentar, zaman remaja, zaman di mana naluri eksplorasi dan ingin tahu amat tinggi.  
    Sesuai dengan sifatku yang sukakan aktiviti lasak, aku mendaftar diri dalam pasukan pengakap di sekolah sejak tingkatan satu lagi (walaupun sifat itu hanya menyumbang 60% manakala keinginan untuk selalu melihat abang senior kegemaranku setiap petang Jumaat  turut menyumbang 40% daripada keseluruhan keinginan untuk menjadi ahli pengakap).   
    Ahli Pengakap di sekolahku amat aktif dan kami sering mengadakan perkhemahan, sama ada di dalam atau  di luar sekolah, termasuklah aktiviti mendaki bukit dan juga menelusuri  sungai dan paya.  
    Ketika itu, jika nama Lord Baden-Powell disebut sahaja, dengan segera kami akan mendabik dada dan berjalan tegak, kerana itulah Bapa Pengakap, kedua penting mungkin, selepas Bapa Kemerdekaan, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj.  
    Begitulah ketaasuban kami dengan pengasas pengakap ketika itu, yang mungkin pada hari ini, apabila kematangan diri mengajar aku muhasabah dan juga menelusuri sejarah, aku tidak ingin begitu taasub dengan Lord Baden-Powell yang mungkin di antara penggerak kepada penjajahan British di Malaya.
    Usai tamat perbarisan kawad di suatu petang Jumaat di sekolah, Cikgu Roslai yang kacak dan berasal dari utara tanah air itu menyampaikan pengumumannya, “Murid-murid, hujung tahun ini, pasukan pengakap sekolah akan mengadakan ‘grand’ perkhemahan yang kita panggil ‘Ekspedisi Utara’, ekspedisi ini akan melibatkan perjalanan menaiki bas dari sekolah ke Kuala Lumpur, dari Kuala Lumpur menaiki kereta api ke Perlis dan penghujung ekspedisi adalah menjelajah Pulau Langkawi,  jadi sesiapa yang berminat boleh mula mendaftar nama pada Ari mulai hari ini ya, jangan lupa untuk membuat persediaan perkhemahan seperti biasa,”. “Horeeeeee!,” ucapan panjang lebar Cikgu Roslai disambut dengan sorakan keriangan oleh semua ahli pengakap terutamanya aku.   
    Dalam hati aku dah mula mengira berapa tabungan yang perlu kukumpul  untuk membolehkan aku mengikuti ekspedisi dan yang paling penting ayat-ayat pemanis untuk dapat keizinan abah, penting tu!
    Dipendekkan cerita, bulan November datang sekelip mata, peperiksaan telah pun ditempuh dan keputusan yang cemerlang menjadi lesen besar untuk abah memberi keizinannya padaku. 
    Bas bertolak tepat jam 4 petang dari sekolah kerana Cikgu Roslai telah mengatur untuk kami menaiki Ekspres Senandung Malam.  Cuaca agak mendung kerana ketika itu musim tengkujuh sudah mula melanda Semenanjung.  
    Ketika kami sampai di Kuala Lumpur hujan telah turun selebat-lebatnya.  “Murid-murid, bas hanya dapat menghantar kita setakat Masjid Negara sahaja, selepas solat nanti kita terpaksa menempuh hujan sambil berjalan kaki menuju stesen kereta api, kamu semua pastikan berjalan dalam barisan dan jangan tinggalkan kawan ya,” pesan Cikgu Roslai dengan muka agak kerisauan.  
    “Tak mengapa cikgu, usah risau, kami semua pengakap muda, setakat air ni boleh saja kami tempuh,” Ari , selaku Ketua Pengakap, membalas dengan semangat.  
    “Ya, ya tapi jangan lupa berhati-hati ya,” balas Cikgu Roslai sambil tersenyum menampakkan lesung pipitnya.  Aku segera mencapai beg galas yang menampung keperluan pakaianku untuk seminggu; di tepi kanan beg ku gantungkan lampu ayan buat menerangi khemah kami nanti, di sebelah kiri beg ku gantungkan cerek kecil untuk memasak air nanti.  
    Maka, dengan mimik muka pendekar bersemangat membara dan berpakaian seragam pengakap lengkap dengan topi, skarf dan wogelnya, kami  melangkah kemas dalam barisan menempuh hujan lebat  menuju ke Stesen Besar Kereta Api Kuala Lumpur.   
    Deretan kereta yang kesesakan dek kerana paras air yang mula melebihi buku lali, semakin panjang di atas jalan.  Sesekali ada pemandu yang kurang sabar, membawa kereta laju begitu hampir ke bibir jalan menyebabkan air menyimbah ke kami.  
    “Nasib baik hujan lebat, tidaklah nampak macam baru lepas kena simbah dengan air lecak,” gerutuku dalam hati sekadar menggeleng kepala mengenangkan sikap pemandu yang kurang sopan itu sehingga aku lupa melihat hadapan.
    “Tolong cikguuuuu!,” aku menjerit sambil seteguk dua air telah masuk ke mulutku.  Aku tidak tahu ke mana pergi beg sandangku tapi yang pasti cerek ku sedang terapung-apung di dalam air.  
    Aku  segera berpaut pada cerek itu, sementelahan pula aku terasa kakiku tidak menjejak dasar.  Rakan-rakanku semua panik.  Cikgu Roslai yang sudah jauh ke hadapan segera berlari menuju kepadaku.
    “Kat mana dia, mana? Mana?, “ suara Cikgu Roslai tenggelam timbul dalam hujan lebat itu.  
    “Kat sana cikgu, yang pegang cerek tu, hati-hati cikgu, dalam tu,” kata Ari sambil tangannya menghulur tongkat kayunya ke arah ku.  
    Ya, cerek tu menjadi penanda lokasiku berada ketika itu.  Maka, dalam kepayahan aku ‘berenang’ (sebenarnya gaya renang yang lebih teruk daripada itik berenang) untuk mencapai hujung kayu yang Ari hulurkan.  
    Sebelah tangan lagi kupaut tangan Cikgu Roslai.  “Kot ya pun nak berenang, tunggulah bila kita sampai ke Langkawi, bukannya kat dalam longkang tepi jalan Kuala Lumpur ni, pegang tangan cikgu kuat-kuat, lepas ni hati-hati ya,” dalam kekalutan itu sempat juga Cikgu Roslai melemparkan usikan sinis pada ku.  
    “Aduhai cikgu, sempat lagi,” dengusku geram di dalam hati.  Nasib baik aku sedang terketar-ketar menggigil kesejukan, kalau tidak...
    Rupanya Ida dan Awa berjaya menyelamatkan beg sandangku yang hanyut sekejap di bawa arus longkang yang agak deras. Aku bersyukur kepada Allah kerana tidak berlaku sebarang kemudaratan, dan lebatnya hujan tika itu berjaya menghilangkan bau hanyir longkang di seluruh pakaianku dan mukaku.  
    Tatkala kaki menjejak platform Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, semua mata memandang kami, untungnya semua orang basah dan cerita terjatuh dalam longkang itu seolah-olah tak pernah terjadi.  Ya, itulah semangat Pengakap Muda. - oleh Merhayati Sipon

Tiada ulasan: