Sabtu, 30 Julai 2011

Kilang Susu


Setelah tidak bekerja beberapa hari, aku ditawarkan bekerja di kilang pembotolan susu oleh seorang kenalan bagi menggantikan tempat kawannya pada hujung minggu itu.
      Aku pastinya tertarik dengan tawaran itu. Bekerja hari Sabtu dibayar dua kali ganda manakala hari Ahad, tiga kali ganda. Tempoh kerjanya pula 12 jam. Kalau £8 sejam, maknanya aku dapat £96 pada hari Sabtu dan £144 pada hari Ahad. £144 lebih kurang RM1,000. Siapa yang tidak hendak.
      Pagi-pagi lagi aku telah bertolak ke kilang bersama kawan yang mempelawa aku itu. Lucu juga apabila bekerja di kilang susu. Sebelum masuk ke kawasan operasi, kami terpaksa masuk ke bilik khas dulu.
      Dalam bilik ini kami menukar pakaian. Kami dibekalkan pakaian seperti angkasawan. Selain berwarna putih, pakaian yang diperbuat daripada campuran plastik dan kertas ini pula besar-besar belaka. Kami juga kena menutup kepala.
      Kerjanya tidak pula susah. Sewaktu kontainer kecil sama ada berukur satu atau dua liter lalu, kami perlu memastikan penutupnya rapat. Setiap kontainer ini perlu dimasukkan ke dalam kotak pula.
      Kalau ada rasa tidak menyenangkan, cuma lebihan susu tumpah yang menghasilkan bau masam. Hari itu aku lulus kerja tanpa teguran.
      Oleh kerana sudah tahu jalan, keesokan harinya aku berkereta sendiri ke tempat kerja. Sewaktu hendak mengetik mesin perakam waktu, aku terlihat jam sudah menunjukkan jam 8.05 minit.
      Dengan bergegas, aku ke bilik menukar pakaian dan terus meluru ke mesin yang aku ditempatkan semalam. Nasib baik pada ketika itu kawanku turut menguruskan kontainer susu yang lalu.
      Aku menarik nafas lega kerana tidak ada penyelia yang lalu ketika itu. ”Selamat!,” jerit hati kecilku. Aku terus membuat kerja dengan penuh teliti ketika itu. Aku seolah-olah ingin menggantikan tempoh kira-kira 10 minit yang hilang kerana terlewat.
      Kesungguhan itu lebih aku perlihatkan sewaktu penyelia singgah di tempatku untuk membuat pemeriksaan kawalan kualiti. ”Good!,” katanya memuji.
      Bagaimanapun sewaktu menerima penyata gaji pada hari Jumaat, tercatat jelas di situ jam bekerja pada hari Ahad itu. Cuma 11 jam, bukannya 12 jam seperti yang aku fikirkan. Lewat 10 minit bermakna ditolak gaji satu jam pertama.

Tiada ulasan: